Tuesday 18 May 2010

TEMBURONG RAMPAS TAKHTA KUM A, KOTA RANGER FC SELESA DI PUNCAK

Dengan kemenangan besar 5-0 mengatasi Daerah Brunei/Muara, Temburong merampas kedudukan Tutong 'A' sebagai pendahulu Kumpulan A kerana kelebihan jaringan walaupun mempunyai jumlah mata yang sama (3 mata) dalam Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan Piala Presiden 2010 - DST Group. Sebuah lagi pasukan yang mempunyai 3 mata ialah Muara Vella FC. Perlawanan antara Tutong 'A' dan BSRC terpaksa ditangguhkan kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan tarikh baru perlawanan akan ditentukan kemudian.

Perebutan takhta Kumpulan A akan berterusan apabila perlawanan-perlawanan minggu ke 3 dilangsungkan hujung minggu ini. BSRC akan menanti kedatangan Muara Vella FC dan Tutong 'A' bersemuka dengan Temburong. Mungkinkah puncak liga Kumpulan A akan berpindah tangan? Sama-samalah kita nantikan.

Kota Ranger FC pula yang berhempas-pulas menewaskan Tutong 'B' 5-4 di Komplek Sukan Menglait Ahad lalu selesa berada di persada liga Kumpulan B dengan memunggut 6 mata maksima. Tangga kedua dihuni oleh musuh tradisi Youngsters FC yang turun pada Jumaat dan mencatat kemenangan 3-0 ke atas Daerah Belait.

Dengan perlawanan-perlawanan Kumpulan B tidak melibatkan Kota Ranger FC hujung minggu ini apakah mungkin kedudukan tangga teratas akan berubah? Youngsters FC dan Tutong 'B' berpeluang memintas Kota Ranger FC apabila keduanya beradu tenaga dalam perlawanan pada Ahad (23 Mei) di Komplek Sukan Menglait. VFA yang tewas tipis kepada Tutong 'B' dalam perlawanan pembukaan akan berkunjung ke Daerah Belait juga pada hari yang sama.

Sesungguhnya persaingan untuk ke separuh akhir masih terbuka luas kepada semua pasukan dan ini menjadikan kancah kejohanan ini semakin bertambah menarik di samping memberi peluang kepada para peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan hero-hero atau idola zaman 70an, 80an dan 90an turun beraksi untuk pasukan masing-masing.

Radiman Hj Abd Rahman (Kota Ranger FC) dan Mohd Nadzrin Abdullah (Tutong 'B') berkongsi kedudukan sebagai pendahulu senarai penjaring terbanyak dengan 6 gol. Keadaan in mungkin juga akan berubah bila mana Mohd Nadzrin akan turun lagi mewakili pasukannya menentang Youngsters FC.

Berikut adalah kedudukan terkini pasukan-pasukan;

KUMPULAN A
1. Temburong - 3 mata
2. Tutong 'A' - 3 mata
3. Muara Vella FC - 3 mata
4. Daerah Brunei/Muara - 0 mata
5. BSRC - 0 mata

KUMPULAN B
1. Kota Ranger FC - 6 mata
2. Youngsters FC - 3 mata
3. Tutong 'B' - 3 mata
4. VFA - 0 mata
5. Daerah Belait - 0 mata

No comments:

Post a Comment