Friday 30 July 2010

SYABAS TUTONG 'B' (PSJD), AWDA LAYAK JADI JUARA

Pemain dan pegawai Tutong 'B' mengabadi kenangan bersama tetamu kehormat dan ahli-ahli jawatankuasa VFA serta penaja kejohanan.

Sebahagian dari pemain Tutong 'B' begitu gembira bersama piala kejuaraan.

Ketua pasukan Tutong 'B', Ukoi Anam, menjulang piala kejuaraan.

Ukoi Anam sedang menerima piala kejuaraan dari tetamu kehormat Awang Hj Jamain Momin sambil diperhatikan oleh pengerusi kejohanan, Ustaz Hj Ahmad Hj Mohin.

Salah satu aksi mencemaskan di kubu Muara Vella FC.

MUARA VELLA FC - NAIB JOHAN

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir - Puncha Gunong.

KOTA RANGER FC - KETIGA

Pengadil, Awg Zulkifli Duraman turut menerima cenderahati dari penganjur.

Gambar-gambar sumbangan Awg Hj Zainol Ariffin Hj Jumaat.

Akhirnya Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan Piala Presiden 2010 - DST Group melabuhkan tirainya pada 25 Julai 2010 (Ahad) lalu apabila perlawanan akhir dimenangi oleh Tutong 'B' (Persatuan Sang Jati Dusun/PSJD) menewaskan Muara Vella FC 2-0, bertempat di Stadium Padang dan Balapan, Komplek Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, jam 8.00 malam.

Tetamu kehormat pada perlawanan akhir itu ialah Pegawai Daerah Brunei/Muara, Awang Haji Jamain bin Momin yang juga berkesudian menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang. Kedua-dua gol Tutong 'B' telah dijaringkan oleh striker mereka iaitu Mohd Nadzrin Abdullah di minit ke 21 (penalti) dan 78. Bagaimanapun, dua jaringan tersebut tidak membolehkan bekas pemain DPMM FC itu untuk memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak kerana hanya mengumpul 16 gol. Anugerah tersebut telah dimenangi oleh pemain Kota Ranger FC, Radiman Hj Abd Rahman, dengan 19 gol.

Selain menerima piala pusingan dan piala iringan, pasukan Tutong 'B' juga meraih hadiah wang tunai $500.00 yang disediakan oleh penganjur, manakala Muara Vella FC pulang bersama sebuah piala dan juga wang tunai $400.00. Kota Ranger FC pula menerima wang tunai $300.00 sebagai pemenang tempat ketiga. Pemain Terbaik Perlawanan Akhir pula dimenangi oleh pemain dari Tutong 'B', Puncha Gunong.

Tutong 'B' nampak lebih seimbang penguasaan mereka disegenap bahagian sama ada pertahanan (termasuk ketangkasan penjaga gol, Hj Mohd Salehin Kee Abdullah), midfield dan juga serangan berbanding Muara Vella FC yang banyak bergantung kepada pengalaman Azamanuddin Hj Gillen di bahagian midfield. Pasukan juara itu menyerang dan mengawal permainan sejak wisel permulaan hingga penamat. Muara Vella FC pula mengambil pendekatan bertahan dan membuat serangan-serangan balas yang beberapa kali mencemaskan kubu Tutong 'B' yang dikendalikan oleh Nordin Tujoh.

Syabas juga diucapkan kepada Muara Vella FC kerana berjaya menunjukkan corak permainan kemas dan bersih sambil membawa para penyokong setia yang menggelar diri mereka 'The Red Giant'. Kota Ranger FC, walaupun hanya berpuas hati di tempat ketiga, namun turut mempamerkan permainan menarik sepanjang kejohanan, hanya nasib tidak menyebelahi mereka terkandas di separuh akhir melalui sepakan penalti tewas kepada Muara Vella FC.

Tidak ketinggalan ucapan tahniah kepada pasukan-pasukan lain yang turut menyertai kejohanan buat pertama kali ini seperti BSRC, Daerah Belait, Daerah Temburong, Tutong 'A', Youngsters FC dan pasukan VFA sendiri. Komitmen awda semua sebenarnya adalah kunci kejayaan kepada kejohanan ini.

VFA juga sebenarnya amat terhutang budi kepada 'title sponsor' DST Group Sdn. Bhd. dan 'main sponsor' Restoran Seri Mama kerana tanpa sumbangan dari kedua-dua entiti swasta ini mustahil kejohanan kali ini dapat dijalankan dengan lancar dan berjaya. Nama DST Group Sdn. Bhd. dan Restoran Seri Mama akan terpahat dalam lipatan sejarah VFA kerana menjadi penaja pertama menjayakan aktiviti VFA yang besar ini. Semoga Allah swt memberkati amal biskita dan dilimpahkan oleh-Nya rezeki yang berpanjangan.

Selain itu ungkapan syabas juga adalah milik kesemua ahli-ahli jawatankuasa penganjur dan ahli-ahli jawatankuasa tadbir serta ahli-ahli VFA yang tidak jemu-jemu memberi buah fikiran, bantuan tenaga, moral dan sokongan tidak berbelah bahagi untuk menjayakan kejohanan ini. Tanpa komitmen sebegitu rupa kejohanan ini tidaklah berjaya dianjurkan. Jumpa lagi di kejohanan akan datang di tahun 2011.

Saturday 24 July 2010

FINAL KEJOHANAN BOLASEPAK VETERAAN KEBANGSAAN PIALA PRESIDEN 2010-DST GROUP

MUARA VELLA FC LAWAN TUTONG 'B'

Tarikh: 25 Julai 2010
Masa: 8.00 Malam
Tempat: Padang & Balapan, Berakas
Tetamu Kehormat: YM Awang Hj Jamain Momin (Pegawai Daerah Brunei/Muara

KOTA RANGER FC RANGKUL TEMPAT KE TIGA

KEJOHANAN BOLASEPAK VETERAN KEBANGSAAN PIALA PRESIDEN 2010 - DST GROUP

Kota Ranger FC telah berjaya merangkul tempat ke tiga dan membawa pulang hadiah wang tunai $300.00 setelah menewaskan Tutong 'A' petang kelmarin dengan jaringan 8-0 dalam perlawanan yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA), jam 4.00 petang.

Radiman Hj Abd Rahman menjadi wira Kota Ranger FC apabila menyumbat 7 gol dan mengumpul 19 gol keseluruhan untuk mendahului senarai penjaring meninggalkan pencabar terdekat di tangga kedua, Md Nadzrin Abdullah (Tutong 'B') yang menjaring 14 gol. Bagaimana pun, Kota Ranger FC hanya mendahului 1-0 di separuh masa pertama hasil jaringan Radiman di minit ke 8.

Dalam separuh masa kedua Kota Ranger FC terus mengukuhkan kedudukan dengan membolosi gawang Tutong 'A' melalui Radiman di minit ke 43, 52, 61, 63, 65 & 74. Sementara Hj Ismail Hj Pungut mencatat nama sebagai penjaring di minit ke 50 untuk mengukuhkan cengkaman kelab bola sepak yang menjadi jagoan Brunei Darussalam di tahun-tahun 1980 & 90an itu.

Kedua-dua pasukan bertemu setelah tewas dalam perlawanan separuh akhir sebelum ini. Kota Ranger FC dikecewakan dengan ketewasan melalui sepakan penalti (1-3) kepada Muara Vella FC dan Tutong 'A' pula tewas kepada rakan sedaerah iaitu Tutong 'B' dengan jaringan 1-4. Pada hari Ahad ini (25 Julai 2009), bertempat di Stadium Padang dan Balapan, Komplek Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, jam 8.00 malam akan dilangsungkan perlawanan akhir.

Thursday 15 July 2010

VFA DAPAT UNDANGAN DARI UKRC

Seperti biasa VFA secara berterusan menerima undangan-undangan untuk menyertai kejohanan-kejohanan di luar negara. Paling terbaru ialah undangan dari Ulu Klang Recreation Club (UKRC), Kuala Lumpur, Malaysia. Kejohanan 9 sepasukan itu akan berlangsung pada 9 & 10 Oktober 2010 akan datang ini dan diadakan di Padang Kelab UKRC, Ulu Klang, Kuala Lumpur.

Kejohanan tersebut terbuka untuk kategori Masters di mana setiap pasukan boleh menyenaraikan 12 orang pemain, 9 orang pemain hendaklah berusia 45 tahun (lahir tahun 1965 ke bawah) dan boleh juga menyenaraikan pemain-pemain yang berusia 45 tahun ke bawah tetapi mesti berusia lebih 40 tahun (lahir tahun 1970 ke bawah).

Yuran penyertaan ialah RM1,200 (termasuk 'cocktail drink', makan malam, cenderamata pasukan dan jamuan final). Mana-mana pasukan atau pihak-pihak yang berminat untuk menyertai kejohanan tersebut bolehlah menghubungi Setiausaha Agong, Awang Liew Chuan Fue (8720105) dan Timbalan Setiausaha Agong, Awang Jabar Ithnin (8820062).

MUARA VELLA FC LWN TUTONG 'B' BERTEMU DI FINAL

Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan Piala Presiden 2010 - DST Group kini hampir sampai ke kemuncaknya apabila Muara Vella FC dan Tutong 'B' akan bertemu dalam final nanti. Muara Vella FC yang muncul juara Kumpulan A bertemu naib juara Kumpulan B Kota Ranger FC dalam perlawanan separuh akhir.

Dalam perlawanan sengit itu Muara Vella FC lebih bernasib baik apabila muncul sebagai pemenang melalui sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 3-3 hingga ke penghujung masa tambahan. Dalam sepakan penalti tersebut Kota Ranger FC kecundang dengan jaringan 1-3.

Manakala Tutong 'B' pula menumpaskan rakan sedaerah iaitu Tutong 'A' dengan jaringan 4-1. Mohd Nadzrin Abdullah muncul wira Tutong 'B' yang diwakili oleh Persatuan Sang Jati Dusut (PSJD) dengan menjaringkan 4 gol dan kini mendahului senarai penjaring terbanyak (Kasut Emas) dengan 14 gol kesemuanya.

Kota Ranger FC dan Tutong 'A' yang tumpas dalam separuh akhir akan bertemu pula dalam perlawanan merebut tempat ketiga. Tarikh, tempat dan masa perlawanan-perlawanan tersebut akan diberitahu kemudian dan diharap para peminat bola sepak tempatan akan menyaksikan kedua-dua perlawanan itu nanti.