Monday 4 June 2012

MUARA VELLA FC DAN SEMAUN TENTUKAN JUARA

MUARA VELLA FC

SEMAUN VETERAN
Akhirnya Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan Piala Presiden DST Group Kali Ke-3 2012 mencapai kemuncaknya apabila dua pasukan terkuat menentukan juara iaitu Muara Vella FC dan Semaun Veteran yang akan berentap dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 10hb. Jun 2012 (Ahad), jam 8.00 malam bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Kedua-dua pasukan bukanlah asing dalam kancah kejohanan ini. Muara Vella FC adalah naib johan edisi petama 2010 (tewas 0-2 kepada PSJD dalam perlawanan akhir) dan menduduki tangga ke tiga musim lalu. Manakala Semaun Veteran pula adalah naib juara tahun lalu apabila tewas tipis 2-3 kepada Kota Ranger dalam perlawanan akhir. Ini bermakna untuk tahun ketiga berturut-turut pasukan baru akan muncul sebagai juara.

Muara Vella FC layak ke perlawanan akhir setelah menewaskan Telbru FT 5-0 dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di padang Sekolah Menengah R.I.P.A.S, Tutong. Sementara di padang Sekolah Menengah PDSM Mentiri pula, Semaun Veteran turut mencatat kemenangan selesa apabila membaham P.B.D.B 4-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang dijalankan secara serentak.

Sebanyak 17 buah pasukan telah menyertai kejohanan kali ke tiga ini yang bermula sejak 6hb. April 2012 lalu dengan format yang berubah apabila pasukan dibahagikan kepada 4 kumpulan dan bermain secara liga satu pusingan. Johan dan Naib Johan setiap kumpulan secara otomatik layak ke perlawanan suku akhir. Nampaknya untuk kejohanan tahun ini beberapa buah pasukan menunjukkan peningkatan seperti BSRC Recon dan P.B.D.B, kedua-duanya wakil dari Daerah Belait serta Telbru FT.

Pasukan-pasukan baru yang memperlihatkan kemampuan ialah I-Team, Pondok 12, Najip FC, Oldstars dan Menengah FC. Sementara Temburong, Jerudong FC, MIISA United FC, Rimba Star FC, Perkasa FC dan PSJD tidak bernasib baik walaupun telah bermain dengan baik dan konsisten.

VFA mengucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua pasukan dan berharap mereka akan kembali menyertai untuk kejohanan yang sama edisi ke empat tahun 2013 tahun hadapan.