Friday 30 July 2010

SYABAS TUTONG 'B' (PSJD), AWDA LAYAK JADI JUARA

Pemain dan pegawai Tutong 'B' mengabadi kenangan bersama tetamu kehormat dan ahli-ahli jawatankuasa VFA serta penaja kejohanan.

Sebahagian dari pemain Tutong 'B' begitu gembira bersama piala kejuaraan.

Ketua pasukan Tutong 'B', Ukoi Anam, menjulang piala kejuaraan.

Ukoi Anam sedang menerima piala kejuaraan dari tetamu kehormat Awang Hj Jamain Momin sambil diperhatikan oleh pengerusi kejohanan, Ustaz Hj Ahmad Hj Mohin.

Salah satu aksi mencemaskan di kubu Muara Vella FC.

MUARA VELLA FC - NAIB JOHAN

Pemain Terbaik Perlawanan Akhir - Puncha Gunong.

KOTA RANGER FC - KETIGA

Pengadil, Awg Zulkifli Duraman turut menerima cenderahati dari penganjur.

Gambar-gambar sumbangan Awg Hj Zainol Ariffin Hj Jumaat.

Akhirnya Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan Piala Presiden 2010 - DST Group melabuhkan tirainya pada 25 Julai 2010 (Ahad) lalu apabila perlawanan akhir dimenangi oleh Tutong 'B' (Persatuan Sang Jati Dusun/PSJD) menewaskan Muara Vella FC 2-0, bertempat di Stadium Padang dan Balapan, Komplek Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, jam 8.00 malam.

Tetamu kehormat pada perlawanan akhir itu ialah Pegawai Daerah Brunei/Muara, Awang Haji Jamain bin Momin yang juga berkesudian menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang. Kedua-dua gol Tutong 'B' telah dijaringkan oleh striker mereka iaitu Mohd Nadzrin Abdullah di minit ke 21 (penalti) dan 78. Bagaimanapun, dua jaringan tersebut tidak membolehkan bekas pemain DPMM FC itu untuk memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak kerana hanya mengumpul 16 gol. Anugerah tersebut telah dimenangi oleh pemain Kota Ranger FC, Radiman Hj Abd Rahman, dengan 19 gol.

Selain menerima piala pusingan dan piala iringan, pasukan Tutong 'B' juga meraih hadiah wang tunai $500.00 yang disediakan oleh penganjur, manakala Muara Vella FC pulang bersama sebuah piala dan juga wang tunai $400.00. Kota Ranger FC pula menerima wang tunai $300.00 sebagai pemenang tempat ketiga. Pemain Terbaik Perlawanan Akhir pula dimenangi oleh pemain dari Tutong 'B', Puncha Gunong.

Tutong 'B' nampak lebih seimbang penguasaan mereka disegenap bahagian sama ada pertahanan (termasuk ketangkasan penjaga gol, Hj Mohd Salehin Kee Abdullah), midfield dan juga serangan berbanding Muara Vella FC yang banyak bergantung kepada pengalaman Azamanuddin Hj Gillen di bahagian midfield. Pasukan juara itu menyerang dan mengawal permainan sejak wisel permulaan hingga penamat. Muara Vella FC pula mengambil pendekatan bertahan dan membuat serangan-serangan balas yang beberapa kali mencemaskan kubu Tutong 'B' yang dikendalikan oleh Nordin Tujoh.

Syabas juga diucapkan kepada Muara Vella FC kerana berjaya menunjukkan corak permainan kemas dan bersih sambil membawa para penyokong setia yang menggelar diri mereka 'The Red Giant'. Kota Ranger FC, walaupun hanya berpuas hati di tempat ketiga, namun turut mempamerkan permainan menarik sepanjang kejohanan, hanya nasib tidak menyebelahi mereka terkandas di separuh akhir melalui sepakan penalti tewas kepada Muara Vella FC.

Tidak ketinggalan ucapan tahniah kepada pasukan-pasukan lain yang turut menyertai kejohanan buat pertama kali ini seperti BSRC, Daerah Belait, Daerah Temburong, Tutong 'A', Youngsters FC dan pasukan VFA sendiri. Komitmen awda semua sebenarnya adalah kunci kejayaan kepada kejohanan ini.

VFA juga sebenarnya amat terhutang budi kepada 'title sponsor' DST Group Sdn. Bhd. dan 'main sponsor' Restoran Seri Mama kerana tanpa sumbangan dari kedua-dua entiti swasta ini mustahil kejohanan kali ini dapat dijalankan dengan lancar dan berjaya. Nama DST Group Sdn. Bhd. dan Restoran Seri Mama akan terpahat dalam lipatan sejarah VFA kerana menjadi penaja pertama menjayakan aktiviti VFA yang besar ini. Semoga Allah swt memberkati amal biskita dan dilimpahkan oleh-Nya rezeki yang berpanjangan.

Selain itu ungkapan syabas juga adalah milik kesemua ahli-ahli jawatankuasa penganjur dan ahli-ahli jawatankuasa tadbir serta ahli-ahli VFA yang tidak jemu-jemu memberi buah fikiran, bantuan tenaga, moral dan sokongan tidak berbelah bahagi untuk menjayakan kejohanan ini. Tanpa komitmen sebegitu rupa kejohanan ini tidaklah berjaya dianjurkan. Jumpa lagi di kejohanan akan datang di tahun 2011.

No comments:

Post a Comment