Wednesday 14 April 2010

LIGA VETERAN KEBANGSAAN - SAH 10 PASUKAN REBUT JUARA


Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kejohanan Liga Veteran Kebangsaan - Piala Presiden 2010 yang berlangsung malam tadi (13 April 2010) di Bilik Mesyuarat, JPKK, Kg Lambak Kanan telah diputuskan bahawa sebanyak 10 buah pasukan telah bersetuju untuk menyertai kejohanan tersebut. Pasukan-pasukan tersebut ialah;

1. Pertubuhan Bolasepak Daerah Brunei dan Muara (PBDBM)
2. Daerah Tutong A (PERDA)
3. Daerah Tutong B (PSJD)
4. Daerah Belait
5. Daerah Temburong
6. Brunei Shell Recreation Club (BSRC)
7. Kota Ranger FC
8. Youngsters FC
9. Muara Vella FC
10. VFA
Keputusan itu diambil berikutan beberapa pasukan yang telah dijemput gagal memberi persetujuan mereka hingga tiba tarikh tutup iaitu 11 April 2010. Oleh yang demikian dua pasukan yang sering menguasai kejohanan-kejohanan tempatan di era 1980an dan 90an iaitu Kota Ranger FC dan Youngsters FC telah berbesar hati menyambut baik jemputan VFA.
Kehadiran Kota Ranger FC dan Youngsters FC sudah pasti menambahkan lagi kemeriahan LVK - Piala Presiden 2010 memandang kedua-dua pasukan memiliki ramai pemain handalan suatu ketika dulu. Pasukan-pasukan lain yang dijemput ialah Muara Vella FC, Persatuan Sang Jati Dusun dari Daerah Tutong dan ahli-ahli VFA sendiri.
Seperti yang dijadualkan lebih awal iaitu perlawanan pembukaan ialah pada 7hb Mei 2010 akan datang ini bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, jam 4.00 petang. Manakala Mesyuarat Pengurus-Pengurus Pasukan dan seterusnya cabutan undi menentukan kumpulan akan diadakan pada 30hb April 2010, jam 2.30 petang bertempat di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Selain memutuskan pasukan-pasukan yang menyertai LVK - Piala Presiden 2010, mesyuarat malam tadi juga membincangkan pelbagai perkara berkaitan penganjuran kejohanan tersebut seperti perbelanjaan, urusan melibatkan majlis pembukaan, persiapan di setiap venue dan kaedah promosi yang akan dilaksanakan kelak.

No comments:

Post a Comment