Saturday, 18 August 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Presiden dan Ahli Jawatankuasa Tadbir VFA ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1433H/2012M kepada semua ahli-ahli VFA, para pemain bolasepak veteran di Brunei Darussalam dan di seluruh dunia. Semoga Syawal ini akan terus memberikan kegembiraan kepada kita semua seisi keluarga. Maaf juga dihulurkan jika sekiranya terdapat salah dan silap kami (VFA) sepanjang kewujudannya dan berinteraksi dengan awda semua. Salam Aidilfitri!

Tuesday, 31 July 2012

MESYUARAT AGONG TAHUNAN (AGM) KALI KE-2 2011

Ahli Jawatankuasa Tadbir VFA mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli-ahli yang berkesudian meluangkan masa hadir ke Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke-2 2011 pada 16 Julai (Isnin) 2012 lalu, bertempat di Restoran Sagar, Komplek Aman, Jalan Muara, pada jam 9.30 pagi. Alhamdulillah, kesemua agenda telah dapat dilaksanakan dan beberapa orang ahli telah memberikan beberapa cadangan dan teguran untuk memajukan lagi VFA.
Antara AJK Tadbir yang hadir ialah (dari kanan) Liew Chuan Fue (S/U Agong), Ukoi Anam (AJK), Pea Chong Kook (AJK) dan Jabar Ithnin (Timb. S/U Agong).
Sebahagian dari ahli-ahli VFA yang hadir.
Mail Tanjong sedang bertanyakan beberapa perkara bersangkutan dengan laporan tahunan 2011.
Tikom Subi tidak melepaskan peluang untuk memberi cadangan dan teguran.
Mohd Sadiy Abdullah Tujoh juga bangun memberi sepatah-dua kata.

Friday, 6 July 2012

NOTIS MESYUARAT AGONG TAHUNAN KALI KE-2 2011

MESYUARAT AGONG TAHUNAN KALI KE-2 2011

Tarikh: 16 Julai 2012 (Isnin)
Masa: 9.00 pagi
Tempat: Restoran Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas

AGENDA;
1. Meluluskan Minit Mesyuarat Agong Tahunnan Kali Pertama 2010
2. Membentangkan Laporan Tahunan 2011.
3. Meluluskan Kunci Kira-Kira Berakhir 31 Disember 2011.
4. Membentang usul-usul oleh ahli-ahli.

Ahli Jawatankuasa Tadbir VFA dengan ini menjemput ahli-ahli VFA yang berdaftar dan membayar yuran tahunan untuk menghadiri mesyuarat agong di atas.

Liew Chuan Fue
Setiausaha Agong

MUARA VELLA FC JUARA EDISI KE-3 PIALA PRESIDEN

Muara Vella FC akhirnya berjaya juga menjuara Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan Piala Presiden DST Group Kali Ke-3 2012 apabila menewaskan Semaun Veteran 3-2 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada 10 Jun 2012 (Ahad) jam 8.malam. Dalam kejohanan sulung pada 2010 Muara Vella FC tewas 0-2 kepada PJSD dalam perlawanan akhir dan menduduki tempat ke tiga pada tahun 2011 lalu.

Hadir sebagai tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah dalam perlawanan akhir tersebut ialah Yang Mulia Dato' Paduka Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam. Tempat ketiga bersama telah dimenangi oleh pasukan Pertubuhan Bolasepak Daerah Belait (PBDB) dan Telbru FT. Sementara Pondok 12 Veteran pula memenangi Piala Fairplay.

Pihak jawatankuasa kejohanan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada DST Group yang telah sudi menjadi penaja buat tahun ke tiga berturut-turut, Sekolah Menengan PDSM Mentiri, Sekolah Menengah RIPAS, Sekolah Menengah Awang Semaun, Sekolah Rendah Selangan, JBS Tutong dan BSRC kerana telah sudi meminjam padang milik mereka sebagai venue-venue kejohanan. Tidak lupa juga untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada NFABD, PBSMBD dan pihak-pihak lain memungkinkan kejohanan ini diungkayahkan dengan jayanya.

Monday, 4 June 2012

MUARA VELLA FC DAN SEMAUN TENTUKAN JUARA

MUARA VELLA FC

SEMAUN VETERAN
Akhirnya Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan Piala Presiden DST Group Kali Ke-3 2012 mencapai kemuncaknya apabila dua pasukan terkuat menentukan juara iaitu Muara Vella FC dan Semaun Veteran yang akan berentap dalam perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 10hb. Jun 2012 (Ahad), jam 8.00 malam bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Kedua-dua pasukan bukanlah asing dalam kancah kejohanan ini. Muara Vella FC adalah naib johan edisi petama 2010 (tewas 0-2 kepada PSJD dalam perlawanan akhir) dan menduduki tangga ke tiga musim lalu. Manakala Semaun Veteran pula adalah naib juara tahun lalu apabila tewas tipis 2-3 kepada Kota Ranger dalam perlawanan akhir. Ini bermakna untuk tahun ketiga berturut-turut pasukan baru akan muncul sebagai juara.

Muara Vella FC layak ke perlawanan akhir setelah menewaskan Telbru FT 5-0 dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di padang Sekolah Menengah R.I.P.A.S, Tutong. Sementara di padang Sekolah Menengah PDSM Mentiri pula, Semaun Veteran turut mencatat kemenangan selesa apabila membaham P.B.D.B 4-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang dijalankan secara serentak.

Sebanyak 17 buah pasukan telah menyertai kejohanan kali ke tiga ini yang bermula sejak 6hb. April 2012 lalu dengan format yang berubah apabila pasukan dibahagikan kepada 4 kumpulan dan bermain secara liga satu pusingan. Johan dan Naib Johan setiap kumpulan secara otomatik layak ke perlawanan suku akhir. Nampaknya untuk kejohanan tahun ini beberapa buah pasukan menunjukkan peningkatan seperti BSRC Recon dan P.B.D.B, kedua-duanya wakil dari Daerah Belait serta Telbru FT.

Pasukan-pasukan baru yang memperlihatkan kemampuan ialah I-Team, Pondok 12, Najip FC, Oldstars dan Menengah FC. Sementara Temburong, Jerudong FC, MIISA United FC, Rimba Star FC, Perkasa FC dan PSJD tidak bernasib baik walaupun telah bermain dengan baik dan konsisten.

VFA mengucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua pasukan dan berharap mereka akan kembali menyertai untuk kejohanan yang sama edisi ke empat tahun 2013 tahun hadapan.

Thursday, 24 May 2012

VFA MASTERS NAIB JOHAN DI MIRI

Pasukan VFA Masters yang telah menyertai FBSBfc Miri-Borneo International Soccer 7's 2012 Fiesta yang berlangsung pada 19 & 20 Mei lalu bertampat di Padang Bolasepak Majlis Bandaraya Miri telah muncul sebagai naib johan dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 berserta medal. Syabas dan tahniah diucapkan kepada para pegawai dan pemain VFA ke kejohanan itu.

Tahniah juga diucapkan kepada FBSB FC sebagai penganjur kejohanan dan VFA berharap akan bersemarak lagi kejohanan-kejohanan bolasepak peringkat veteran sebagai pemangkin kepada pembangunan bolasepak peringkat akar-umbi. Bolapsepak veteran sesungguhnya boleh menjadi meniup semangat dan contoh kepada para pemain muda masakini.

Pihak penganjur menawarkan dua kategori iaitu Masters (45 tahun) dan Veteran (40 tahun) dan 7 buah pasukan menyahut cabaran bagi Masters dan 5 pasukan pula bagi Veteran. Kedua-dua kategori dimainkan secara liga satu pusingan dan pasukan yang menduduki tangga teratas akan muncul sebagai pemenang. Ternyata tuah memihak kepada Melodi Jaya FC kerana muncul juara Masters sepertimana yang dilakukan mereka dalam kejohanan 1st & 2nd Brunei 7's International Soccer Challenge 2010 & 2011 lalu.

Dalam 6 perlawanan yang diharungi, VFA Masters hanya tewas sekali kepada juara Melodi Jaya FC 1-3. Lima perlawanan selebihnya diakhiri dengan catatan kemenangan; MLNG SU Star 3-1, Petronas Masters 2-1, FNSB Masters 2-0, FGOC 1-0 dan Permy Masters 1-0.






Para pemain yang telah menjadi kebanggaan VFA ialah Hj Ahmad Hj Mohin, Sharbini Mohidin, Ukoi Anam, Zaini Hj Abang, Mail Tanjong, Kula Mohamad, Zainuddin Hj Mohamad, Mohamad Sadiy Abdullah Tujoh, Kamal Ringgit dan Roslin Suhaili.

Saturday, 12 May 2012

8 PASUKAN KE SUKU AKHIR

Walaupun perlawanan peringkat kumpulan tinggal 1 perlawanan lagi pada 13 Mei 2012/Ahad antara P.S.J.D dan I-Team di Sek. Men. R.I.P.A.S Tutong namun keputusan perlawanan tersebut tidak akan mengubah kedudukan pasukan-pasukan yang telahpun layak ke pusingan suku akhir. Sejak bermula kira-kira sebulan lalu (6 April) kini 8 pasukan akan berentap pula dalam pusingan kalah mati yang akan bermula pada 1 & 3 Jun 2012/Jumaat & Ahad akan datang ini.

BSRC Recon buat pertama kali melepasi perlawanan peringkat kumpulan apabila mengejutkan dua buah pasukan pilihan bagi Kumpulan A iaitu Semaun dan Jerudong FC apabila  muncul juara kumpulan dan Semaun pula berpuas hati menduduki tangga kedua. Pendatang baru, Old Stars bersama Telbru FT layak bagi Kumpulan B. Temburong dan Muara Vella FC pula menepati ramalan awal untuk mewakili Kumpulan C. Sementara sebuah lagi pasukan baru iaitu Al-Idrus menjuarai Kumpulan D dan bersamanya ialah P.B.D.B yang juga layak buat pertama kali.

Berikut adalah jadual perlawanan suku akhir;

BSRC Recon lwn Muara Vella FC
Old Stars lwn P.B.D.B
Semaun lwn Temburong
Telbru FT lwn Al-Idrus